Sunday 14 April 2013

Wajah-Wajah Sintok gilap kreativiti siswa


MAHASISWA Teknologi Media, Pusat Koku­rikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan pertandingan fotografi, baru-baru ini.
Pertandingan itu mendokong tema Wajah-Wajah Sintok dan diadakan sempena Hari Kokurikulum Edisi kelima Pusat Kokurikulum berkenaan. 
Pengerusi pertandingan, Muhammad Zaid Adha Wai, berkata melalui pertandingan itu, mahasiswa meningkatkan daya kreativiti selain mengaplikasikan ilmu dipelajari melalui kaedah praktikal.

“Ia mencungkil bakat mahasiswa terhadap bidang fotografi selain memberi pendedahan pelbagai aspek berkaitan yang membantu melonjakkan nilai kreativiti.

“Melalui pertandingan ini, diharap dapat membuka minda mereka untuk mempelbagaikan lagi perkongsian ilmu, maklumat dan idea bagi melahirkan graduan berfikiran kritis,” katanya.

Antara aspek yang menjadi tarikan utama ialah terjemahan gambar melalui lensa kamera untuk menghasilkan gambar terbaik.

Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Syamsul Anuar Che Mey @ Ismail pula yakin pertandingan itu mampu membuka minda pelajar untuk lebih berdaya saing dan positif.

“Ini adalah asas yang baik untuk membantu melonjakkan lagi aspek kecemerlangan sahsiah diri di samping membina kemahiran komunikasi antara satu sama lain,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/08

0 comments :

Post a Comment




Pusat Kokurikulum UUM