Wednesday, 13 March 2013

Marching Band UUM


Pancaragam Pusat Kokurikulum ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2004. Pasukan ini asalnya merupakan sebuah kumpulan di bawah program kokurikulum Unit Seni Muzik. Oleh kerana Universiti Utara Malaysia sering mengadakan aktiviti – aktiviti berupa acara-acara sambutan terutamanya di dalam sambutan Hari Pengasasan UUM dan juga istiadat Konvokesyen UUM maka timbul idea oleh Pengarah Pusat Kokurikulum, UUM, DSP/KS Prof. Madya Izham Bin Hj. Shafie, AMN, AMK untuk menubuhkan sebuah Pasukan Pancaragam yang mampu mengiringi acara-acara rasmi universiti dan membuat persembahan untuk acara-acara hiburan kepada warga universiti.

Pemilihan anggota diadakan pada semester pertama sesi 2003/2004. Anggota –anggota yang terlibat dikehendaki menjalani ujibakat dari segi teori dan praktikal. Namun terdapat juga anggota yang berminat tetapi tidak memilikki asas ilmu muzik. Anggota-anggota yang terpilih adalah dari kalangan pelajar semester satu dan mereka diajar dan didedahkan kepada ilmu teori dan praktikal muzik selama 6 bulan hingga satu tahun di bawah bimbingan En. Mohd. Fairouz Bin Che Rose.

Pasukan Pancaragam Pusat Kokurikulum ini sering mendapat jemputan untuk mengiringi upacara rasmi universiti seperti Istiadat Konvokesyen UUM yang dihadiri oleh Canselor UUM Tuanku Sultan Kedah. Selain itu, pasukan ini sekarang mengorak langkah dengan aktif menerima jemputan pihak luar untuk membuat persembahan seperti Upacara Perasmian/Penutup Perkampungan Sukan / Atlit Sukan Malaysia SUKMA Kedah 2006. Selain itu, pasukan ini sering terlibat di dalam mengiringi kontinjen badan beruniform sempena Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan anjuran kerajaan Negeri Kedah.

Pada tahun 2007, pasukan ini buat julung kalinya menyertai The Kuala Lumpur World Marching Band Competition 2007 dan telah berjaya menggondol pingat Gangsa Anugerah Khas Juri pada pertandingan tersebut. Dengan kejayaan tersebut telah menaikkan semangat dan moral anggota di mana pasukan ini merupakan satu-satunya pasukan pancaragam yang mewakili IPTA/IPTS di Malaysia pada pertandingan tersebut. Manakala pada 2008 yang lalu sekali lagi pasukan ini mengharumkan nama UUM dengan penyertaan di Pertandingan Wind Orkestra antara IPTA dan menjadi satu-satunya wakil pasukan yang terdiri daripada pelajar kokurikulum tidak seperti wakil IPT lain yang menghantar pasukan daripada fakulti muzik masing-masing. Walaupun begitu pasukan ini terpaksa berpuas hati dengan hanya menduduki tempat keempat pada pertandingan tersebut. Namun kekecewaan lalu terbalas dengan jemputan daripada Hong Kong Tourisme untuk pasukan pancaragam UUM mewakili Negara ke Hong Kong Marching Band Competiton and Festival pada bulan Disember 2009. Pasukan ini berjaya menggondol anugerah emas pada pertandingan tersebut. Pada tahun 2011, pasukan ini akan menyertai Chatelaillon Plage Festival (France) pada 24-26 Jun 2011.

Keanggotaan pasukan ini semakin meningkat daripada 25 orang anggota pada peringkat awal hinggalah kini mencecah jumlah 65 orang anggota daripada semester satu hingga semester empat. Pasukan ini telah menubuhkan satu seksyen bagpipe yang dianggotai oleh 5 orang anggota dan sebuah seksyen colour guards yang dianggotai oleh 10 orang siswi. Pasukan ini dilatih dan dipimpin sepenuhnya oleh En. Mohd. Fairouz Bin Che Rose sebagai jurulatih merangkap Konduktor serta dibantu oleh En. Ahmad Bin Man selaku Band Master.

0 comments :

Post a Comment

Pusat Kokurikulum UUM