SERAMAI 70 pelajar Kursus Teknologi Media dan Hospitaliti Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah akan menghadiri Program Belia Mahir 1Malaysia anjuran Institut Kemahiran Belia Negara Peretak (IKBN Peretak), di Kuala Kubu Bharu, Selangor selama dua hari mulai 24 September ini.

Pengarah kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM), Syamsul Anuar Che Mey yang ditemui berkata, pelajar berkenaan diberi pendedahan sebagai usaha mewujudkan hubungan lebih baik mereka yang mengambil kokurikulum di universiti itu mengikuti kursus yang ditawarkan sekali gus memperoleh sijil kemahiran di institusi itu seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Beliau berkata, pihaknya akan memastikan pelajar UUM menjalinkan hubungan agensi luar bagi mendapatkan sijil mulai tahun ini selain sijil ditawarkan di pusat ini seiring hasrat Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak sebagai usaha memastikan Pusat Kokurikulum melakukan transformasinya.


“Bagi merealisasikan transformasi ini berjaya, semua penyelaras dan jurulatih yang dilantik dipertanggungjawabkan untuk menjalinkan hubungan dengan agensi tertentu atau organisasi luar agar pelajar memperoleh sijil di peringkat lebih tinggi.

Sementara itu Pengarah IKBN Peretak, Wan Sallam Wan Yusof, berkata program anjuran Kementerian Belia dan Sukan ini diadakan bagi memberi pendidikan dalam bidang kemahiran yang terdapat di institut berkenaan.

Katanya, jalinan hubungan dengan pihak universiti adalah satu perkembangan baik kerana melalui jalinan hubungan ini membolehkan pelajar di institut itu dapat mengintai peluang melanjutkan pengajian mereka ataupun mengikuti latihan industri di kampus.

“Saya mendapati ia satu perkembangan baik kerana permohonan memasuki IKBN juga dilakukan melalui UPU Online,” katanya.