Monday 15 April 2013

60 pelajar UUM sertai Seminar Pengukuhan Gagasan 1Malaysia


SUNGAI PETANI 26 Mac - Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kedah telah melancarkan Skuad Sukarelawan Gagasan 1Malaysia di Kelab Cinta Sayang di sini baru-baru ini.
Turut berlangsung pada majlis sama, Seminar Pengukuhan Gagasan 1Malaysia anjuran MAYC yang disertai 60 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok.
Pengerusi MAYC Kedah, Shamsul Anuar Ismail berkata, pihaknya mahu memastikan semua daerah di Kedah mempunyai Skuad Sukarelawan dan semua pihak perlu komited terus memberi khidmat bakti kepada masyarakat.
"Golongan belia dan pelajar universiti perlu diberi maklumat mengenai isu-isu semasa," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran itu.
Sementara itu, Pegawai Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Azmi Lateh ketika berucap dalam majlis penutup seminar tersebut berkata, penyertaan pelajar universiti sebagai skuad sukarelawan begitu bermakna sekali.
"Melalui minat yang ada dalam skuad sukarelawan seumpama ini, peserta dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul di tempat masing-masing termasuk dalam kejadian ribut atau banjir," katanya yang juga Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negeri Kedah.
Pada majlis itu, beliau menyumbang sebanyak RM5,000 kepada MAYC Kedah bagi menjalankan pelbagai aktivitinya.
Sementara itu, Pengerusi MAYC Kampus UUM Sintok, Alif Mohd. Rozi berkata, sehingga kini terdapat seramai 200 penuntut UUM yang telah menjadi ahli MAYC dengan 130 daripadanya adalah penuntut wanita.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130327/wu_05/60-pelajar-UUM-sertai-Seminar-Pengukuhan-Gagasan-1Malaysia#ixzz2QcVLhmmM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments :

Post a Comment




Pusat Kokurikulum UUM