Monday, 15 April 2013

Lebuh raya sungai di Kedah


SUNGAI PETANI 31 Okt. - Rakyat negeri ini khususnya kalangan petani dijangka meraih satu lagi manfaat daripada Kerajaan Persekutuan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meluluskan projek 'lebuh raya sungai' dari Empangan Pedu sehingga ke daerah Kuala Muda.
Menurut Perdana Menteri, projek lebuh raya berkenaan yang diharap dapat dilaksanakan segera bertujuan meluruskan sungai yang kini dalam keadaan bengkang-bengkok dan sering menimbulkan masalah banjir kepada pesawah setiap tahun.
Selain itu, katanya, projek tersebut juga bertujuan memudahkan air disalurkan ke kawasan tanaman padi yang kini mempunyai keluasan kira-kira 38,000 hektar di kawasan Kedah tengah.
Menurutnya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat setiap golongan termasuk petani yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada negara.
"Saya selaku Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk golongan ini," katanya ketika berucap dalam majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri di Pantai Merdeka di sini hari ini.
Lebih 15,000 peladang, penternak dan nelayan seluruh negeri Kedah menghadiri program yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
Dengan terlaksananya projek yang pernah dicadangkan oleh LPP itu, lebih 3,000 keluarga petani dijangka meraih manfaat melalui peningkatan pengeluaran hasil padi sedia ada daripada 2.8 metrik tan sehektar kepada 10 metrik tan sehektar.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa melahirkan penghargaan kepada golongan petani dan nelayan atas jasa besar mereka kepada negara.
Menurutnya, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, beliau sentiasa merasai denyut nadi rakyat dan memahami aspirasi setiap golongan termasuk petani.
Perdana Menteri berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mendapat peruntukan besar iaitu lebih RM5.8 bilion dalam Bajet 2013 dengan RM2.4 bilion disediakan untuk subsidi padi, insentif petani dan nelayan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyelar sikap pembangkang yang cuba menghasut para petani agar tidak menghargai sumbangan yang diberikan kerajaan.
"Apabila kita buat perkara seperti ini (bantu petani), ada pula puak tertentu yang saya tidak tahu mahu panggil apa puak ini. Tetapi ada puak yang menular, menjalar dan merayau di akar umbi, di celah pokok yang membawa khabar bahawa kalau kerajaan beri, kita ambil," katanya.
Beliau berkata, sikap sedemikian sebenarnya membelakangi prinsip-prinsip agama kerana mengajak rakyat supaya tidak berterima kasih dan tidak menghargai pengorbanan pemimpin.
"Sebenarnya sikap sebegini membawa maksud orang munafik. Namun begitu, kita sebagai kerajaan tidak pernah mengkhianati amanah yang diberikan rakyat apatah lagi berbohong. Sebab itulah, kita sentiasa menepati dan menunaikan janji," katanya.
Katanya, rakyat juga perlu menilai pemimpin pembangkang yang hanya berjanji kosong tetapi tidak melaksanakan perkara yang baik untuk negara.
"Mereka kata mahu menghapuskan tol dan menaikkan gaji, tetapi ini akan menyebabkan ekonomi merudum. Apabila perkara itu berlaku, sudah tentu petani dan nelayan tidak akan dapat subsidi lagi kerana hasil kerajaan telah merudum
"Saya nyatakan perkara ini sebab saya Menteri Kewangan. Mengendali kerajaan bukan suatu yang mudah atau suka hati dan sebut bagi menyedapkan halwa telinga pengundi seperti janji itu ini dan hutang dihapus," katanya.
Terdahulu Najib disambut oleh kira-kira 2,000 penduduk di Tanjung Dawai, Merbok dekat sini.
Sebaik sahaja tiba, beliau mengadakan walkabout bagi mendekati penduduk sekitar pekan Tanjung Dawai sebelum berlepas ke Pantai Merdeka dengan diiringi 40 bot nelayan.

0 comments :

Post a Comment

Pusat Kokurikulum UUM