Thursday 18 April 2013

Pembangunan Hal Ehwal Agama teras utama dalam manifesto BN Kedah


ALOR SETAR: Manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah atau Aku Janji yang dilancarkan hari ini meletakkan hal ehwal agama sebagai teras utamanya dalam usaha memajukan semula negeri ini di samping membela nasib rakyat.Dua lagi teras Manifesto BN Kedah bertemakan "Bersama Memacu Tranformasi Kedah" itu ialah Transformasi Ekonomi dan Tranformasi Sosial, merangkumi 14 perkara. Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata sebagai parti yang sentiasa berpegang kepada syiar Islam, BN Kedah bertekad untuk mempertahan kewujudan pusat pengajian pondok dan tahfiz dengan memberikan pelbagai kemudahan bertaraf tinggi. 

"Bersesuaian dengan hasrat itu, Maktab Rendah Sains Mara Ulul Albab akan ditubuhkan, selain mengimarahkan suasana ilmu di Kedah dan memperkasa institusi dan pergurusan masjid serta surau dengan pelbagai latihan," katanya semasa melancarkan Aku Janji BN Kedah di sini. Kerajaan BN juga akan mengasingkan hasil pendapatan negeri dengan hanya sumber berlandaskan Syariah sahaja digunakan untuk perbelanjaan melibatkan umat Islam. 

Beliau berkata, aku janji itu turut menggabungkan elemen transformasi ekonomi dan transformasi sosial yang meliputi komitmen BN dalam membawa perubahan serta kemajuan ke negeri ini. Antaranya membangunkan Bandaraya Getah Kota Putra di Padang Terap yang mampu menawarkan 13,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan sederhana. BN juga mahu membangunkan hub industri Kota Perdana dan pembangunan bercampur, termasuk pusat logistik di Bukit Kayu Hitam, yang merupakan sebahagian daripada Projek  Strategik Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand. 

Turut dirancang pembangunkan Jerlun sebagai Pusat Industri Minyak dan Gas serta Yan sebagai Zon Industri Petroleum Yan bagi memanfaatkan perjanjian dua hala Malaysia-Thailand. Ahmad Bashah berkata, aku janji khusus untuk rakyat Kedah itu dirangka dengan penuh berhemah dengan mengambil kira kemampuan parti dan bukan janji-janji kosong. Katanya, ekonomi Kedah akan melalui transformasi dengan kewujudan lebih banyak peluang pekerjaan di samping peningkatan pelaburan langsung asing dan domestik khusus dalam sektor terpilih. - BERNAMA 

0 comments :

Post a Comment




Pusat Kokurikulum UUM