Monday 15 April 2013

UUM JANA KEMAHIRAN INSANIAH


KUBANG PASU 17 April – Universiti Utara Malaysia (UUM) akan memperkasakan program kokurikulum bagi membangunkan bakat dan menyerlahkan lagi kemahiran insaniah dalam kalangan pelajarnya.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihaknya akan memberi penekanan terhadap aspek itu, sama seperti kursus-kursus akademik lain dalam usaha melahirkan graduan yang memenuhi keperluan negara dan bersaing di pasaran kerja.
“Antara ciri-ciri kemahiran insaniah yang dimaksudkan seperti berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi efektif dan kolaborasi serta inovasi dan kreativiti kerja berkumpulan,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Kokurikulum Edisi Ke-5 2012 di Dewan Mu’adzam Shah, UUM, Sintok di sini, baru-baru ini.
Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim berkenan berangkat hadir merasmikan program berkenaan.
Mohamed Mustafa berkata, ia boleh digerakkan melalui pendekatan kolaborasi, kaedah penyampaian yang berinovasi, khususnya dalam konteks pembelajaran dan pengajaran serta pengenalan kepada kursus-kursus kokurikulum baharu yang relevan dengan perkembangan semasa.
“UUM bukan sahaja ingin melahirkan modal insan yang biasa dan hanya untuk memenuhi keperluan industri, tetapi sebaliknya mempunyai bakat bagi membantu negara menghadapi persaingan dan menyumbang penyelesaian cabaran semasa dan akan datang.
“Usaha bersepadu pada semua peringkat amat penting memandangkan tahap pembelajaran dalam konteks kokurikulum perlu melangkaui bilik kuliah. Para jurulatih kokurikulum diharapkan dapat memaksimumkan potensi setiap mahasiswa semasa mereka berada di kampus,” ujarnya.
Beliau berkata, Pusat Kokurikulum juga boleh memulakan inovasi dengan memanfaatkan kedudukan strategik UUM sebagai universiti awam yang pertama memperkenalkan kursus kokurikulum berkredit.
Menurutnya, dengan cara itu, pusat itu akan muncul sebagai pelopor kepada penawaran modul-modul latihan kokurikulum yang terancang dan berstruktur sama ada bertaraf diploma atau sijil kemahiran kepada mahasiswa mahupun pihak-pihak luar yang berminat.
“Diploma atau sijil yang bakal dikeluarkan nanti perlu diberi pengiktirafan agar ia setanding dengan sijil-sijil kemahiran lain di negara kita. Untuk itu, suka saya mencadangkan agar satu usaha kolaborasi pendidikan dapat dirintis antara Pusat Kokurikulum dengan institusi luar bagi tujuan tersebut,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm#ixzz2Qaz3tiyk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments :

Post a Comment




Pusat Kokurikulum UUM