Monday, 15 April 2013

UUM Rintis Siswa 1 Malaysia


GOLONGAN siswa harus berusaha meningkatkan daya saing dan kemahiran bagi mengisi peluang pekerjaan bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja pada masa kini.
Mereka perlu mengambil peluang dan pendekatan terbaik dengan mengikuti setiap latihan dan kursus kemahiran yang disediakan kerajaan.
Kerajaan hari ini menyediakan pelbagai kemudahan dan perancangan teliti bagi memastikan golongan siswa di negara ini mempunyai peluang pekerjaan mencukupi selaras dengan tahap kemahiran yang diperlukan.
Sehubunan itu 70 pelajar Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi perintis kumpulan pertama dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini yang menyertai Program Belia Mahir 1Malaysia anjuran Kementerian Belia dan Sukan.
Program selama dua hari yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Peretak, Kuala Kubu Bharu, Selangor itu menawarkan empat jenis kursus iaitu terapi kecantikan, proses membuat roti, fotografi dan masakan.
Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran, Kementerian Belia dan Sukan, Saari Salleh ketika berucap merasmikan majlis itu yakin jalinan hubungan antara UUM dan IKBN ini akan menjadi landasan terbaik kepada pelajarnya.
Katanya minat untuk mempelajari bidang kemahiran oleh mahasiswa dilihat sebagai nilai tambah selain bidang akademik.
Saari juga percaya melalui ilmu kemahiran yang ditawarkan itu akan membantu generasi mahasiswa untuk melengkapkan diri mereka ke pasaran kerja nanti.
"Mereka yang menyertai program ini bukan sahaja akan berbangga kerana berjaya mendapatkan ijazah dari UUMmalah untuk mempelajari bidang kemahiran ketika menyertai program kokurikulum di universiti," ujar beliau.
Sementara itu Timbalan Pengarah Kokurikulum UUM, Dr. Fauzi Hussin berkata, beliau berharap jalinan hubungan ini akan dapat dipertingkatkan dan seiring dengan hasrat Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak untuk melihat Pusat Kokurikulum UUM itu melakukan transformasi universiti.
"Peluang yang diberikan KBS kepada mahasiswa UUM ini akan digunakan sepenuhnya dan jalinan hubungan dengan 20 IKBN juga akan dipertingkatkan." kata beliau.
Sepanjang dua hari menyertai program itu pelajar menjalani latihan teori dan praktikal cara mengendalikan restoran, proses membuat roti, mempelajari cara menghias diri dan mengambil gambar dalam studio serta luar studio.

0 comments :

Post a Comment




Pusat Kokurikulum UUM