Thursday, 18 April 2013

Gabungan calon paling mantap


ALOR SETAR 16 April - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah mengumumkan kesemua 51 calon BN yang disifatkan sebagai gabungan paling mantap pernah ditawarkan kepada rakyat negeri ini untuk menawan semula Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Beliau berkata, seramai 15 calon Parlimen dan 36 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut dipilih dengan teliti berdasarkan kesesuaian, latar belakang dan kemampuan menggalas tanggungjawab memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sekiranya berjaya menewaskan calon-calon pakatan pembangkang pada 5 Mei ini.

"Sepanjang karier politik saya, kali ini bukan sahaja mencabar tetapi calon-calon BN yang diturunkan juga adalah mantap."Dengan kewibawaan kombinasi muka baharu dan lama serta pelbagai latar belakang ini, saya yakin BN berjaya merampas kembali Kedah pada 5 Mei ini," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan calon BN Kedah di Dewan Serbaguna Anak Bukit, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 28 calon baharu dipilih untuk mewakili BN bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen kali ini.
Daripada jumlah itu, katanya, sebahagian besar merupakan ahli politik berpengaruh dan berpengalaman serta di kalangan profesional seperti pensyarah universiti, doktor, peguam dan jurutera.

"Selain itu, kita turut menampilkan semula bekas-bekas orang kuat untuk melawan nama-nama besar pembangkang seperti Datuk Othman Abdul di Pendang (akan menentang Mohamad Sabu dari Pas).
"Mereka ini diakui mempunyai pengalaman yang luas dan mampu menumpaskan lawan," katanya.
Senarai calon itu antaranya menyaksikan penyandang kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berpindah ke kerusi DUN Ayer Hitam, manakala bekas menteri besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berpindah dari kerusi DUN Pedu ke Parlimen Padang Terap.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bertanding di Parlimen Jerai selain mengekalkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung di Alor Setar dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharom di Kubang Pasu.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail bertanding di Parlimen Pokok Sena untuk menentang Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, manakala calon BN di Pendang, Datuk Othman Abdul menentang Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Calon profesional BN lain termasuk seorang doktor, Dr. Zaki Zamani Abdul Rashid di Kuala Kedah dan golongan akademik, Prof. Dr. Ismail Daut (Merbok), Shamsul Anuar Ismail (Sungai Petani) dan Dr. Mansor Abdul Rahman (Sik).Mengenai calon muda dan wanita pula, Ahmad Bashah memberitahu, BN Kedah sentiasa mengiktiraf peranan golongan tersebut dalam pelbagai bidang termasuk politik.
"Sebab itulah pada kali ini, penyertaan calon muda ramai manakala golongan wanita sebanyak tujuh orang," katanya.

Ditanya tentang mereka yang tidak disenarai atau digugurkan, beliau berkata, pihaknya telah menghubungi individu terbabit dan diberikan keyakinan bahawa mereka akan membantu memenangkan calon BN pada kali ini.
"Mereka akur kerana senarai ini dibuat oleh pucuk pimpinan parti. Sebagai orang parti, mereka bersetuju meneruskan perjuangan dengan memberikan komitmen penuh memenangkan BN," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments :

Post a Comment




Pusat Kokurikulum UUM