Thursday, 2 May 2013

Warkah Suara Hati Syamsul kepada Pengundi Sungai Petani


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Kepada semua warga P015 Sungai Petani yang dikasihi dan dihormati,

Dengan kehendak dan izin ALLAH swt, saya telah dipilih sebagai calon Barisan Nasional bagi P015 Sungai Petani untuk bersama-sama dalam Pasukan Transformasi Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd. Razak bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Daripada 222 kerusi Parlimen, seramai 18 orang calon baharu BN yang berusia di bawah 40 tahun. Saya adalah salah seorang yang telah terpilih bagi mewakili suara generasi baharu yang merupakan 42% pengundi muda daripada 13.3 juta pengundi di seluruh Negara.


Sebagai anak jati Sungai Petani, saya mengenali dan memahami suara hati serta denyut nadi warga kawasan parlimen ini. Saya ingin melihat Rakyat Sungai Petani menikmati kehidupan yang lebih baik dalam masa 5 tahun akan datang.

Kerjaya sebagai ahli akademik dan pemimpin belia sebelum ini membolehkan saya bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam kehidupan seharian.

Saya percaya latarbelakang peribadi dan kerjaya saya sebelum ini dapat dijadikan sandaran dalam melaksanakan tugas sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani jika diberi mandat kelak.

Pembangunan Sungai Petani berkembang pesat dari tahun 1999 sehingga tahun 2007. Perkembangan pesat ini terbantut seketika apabila berlakunya pertukaran kepimpinan di Sungai Petani dan Negeri Kedah pada Pilihanraya Umum yang lalu. Saya percaya kita semua tidak mahu pembangunan Sungai Petani ketinggalan lagi untuk 5 tahun akan datang.


Sehubungan itu, saya telah mengariskan beberapa rancangan yang saya bertekad untuk diperjuangkan dan dikemukakan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Barisan Nasional seperti berikut:

I. Menubuhkan Majlis Pemuafakatan Sungai Petani yang akan dianggotai pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat agar semua masalah rakyat dapat disatukan untuk diselesaikan.
II. Membina Maktab Rendah Sains Mara (Ulul Albab)
III. Menubuhkan sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
IV. Memperbaiki sistem kutipan sampah
V. Menaik taraf sistem perparitan di taman-taman perumahan
VI. Melupuskan bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil
VII. Membangunkan taman rekreasi baharu seperti Sungai Muda Waterfront sebagai pemangkin sumber ekonomi baharu di Sungai Petani


Saya yakin dengan kemampuan dan pengalaman Barisan Nasional, program-program Transformasi yang menjadi agenda besar Dato' Sri Mohd Najib Tun Abd. Razak serta dengan sokongan dan kepercayaan daripada rakyat Sungai Petani, dan tentunya juga dengan izin ALLAH swt, semua yang dirancang itu akan dapat dilaksanakan dan Sungai Petani akan berdiri sebagai salah sebuah kawasan Parlimen yang maju di Malaysia.

Kepada semua pengundi di kawasan Parlimen Sungai Petani yang bijaksana, saya memohon dengan penuh keikhlasan supaya memberikan peluang kepada saya untuk mencurahkan bakti. Saya tidak minta supaya dipilih menjadi tuan, tetapi pilihlah saya untuk menjadi sahabat dalam perjuangan untuk mencapai satu matlamat, menjadikan Sungai Petani lebih maju dan makmur.

Sekian, selamat mengundi dan selamat membuat pilihan.
Terima kasih.

SUARA GENERASI BARU, KHIDMAT UNTUK SEMUA. 

Ikhlas daripada
Syamsul Anuar Ismail
Calon Barisan Nasional P015 Sungai Petani.

0 comments :

Post a Comment




Pusat Kokurikulum UUM